Gerbang Maya Rasmi Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu. Semua maklumat berkaitan Hal Ehwal Murid, Pendidikan Pencegahan Dadah, Kokurikulum, Ko Akademik dan Sukan akan disiarkan melalui laman maya ini. Alamat surat menyurat : Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, 21700 Kuala Berang Nombor Telefon : 096811344/6817449 Nombor Faks : 09-6811090
Thursday, 29 January 2015
Tuesday, 27 January 2015
Peristiwa : Mesyuarat Pengurusan Hal Ehwal Murid Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Terengganu Bil. 1 Tahun 2015
Ucaptama oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu
Ceramah Jemputan daripada PDRM oleh Inspektor Mohd Salam bin Zainal Abidin, Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Hulu Terengganu
Turut Hadir
Puan Zaiton bin Mohd Zaki, Pen. PPD (HEM), PPD Hulu Terengganu
Encik Esham bin Busu, Pen. PPD (PPDa), PPD Hulu Terengganu
Encik Mohd Pauzi bin Ab. Rahman, Penyelia HEM, PPD Hulu Terengganu
Teks Ucapan Perutusan Tahun Baharu YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia
TEKS
UCAPAN
YAB
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN
PERDANA MENTERI
MERANGKAP
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
DI
MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2015
KEMENTERIAN
PENDIDIKAN MALAYSIA
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam
sejahtera dan salam 1Malaysia.
Yang Berhormat Dato’ Seri Idris bin Jusoh, Menteri
Pendidikan II
Yang Berhormat Datuk Mary Yap Kain Ching, Timbalan
Menteri Pendidikan I
Yang Berhormat Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan,
Timbalan Menteri Pendidikan II
YBhg. Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad, Ketua
Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia
YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua
Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia
YBhg. Ketua - Ketua Pengarah
YBhg. Pengerusi-Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti
YBhg. Naib Canselor Universiti-Universiti
YBhg. Tan Sri-Tan Sri/ Dato’ Seri-Dato’Seri/ Datuk-Datuk/
Dato’-Dato’/ Datin-Datin tuan-tuan/ puan-puan dan hadirin
yang dihormati sekalian.
1.
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran
ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua kita dapat
bersama-sama menghadiri Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian
Pendidikan Malaysia pada pagi ini. Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan
Selamat Tahun Baharu kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan, termasuk para
pegawai kementerian, guru, pensyarah, mahasiswa, murid dan tidak lupa juga
kepada para ibu-bapa di seluruh negara. Saya ingin mengambil kesempatan di awal
ucapan saya ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang
telah berusaha dengan gigih dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan
sepanjang tahun lalu. Dengan ketibaan tahun baharu ini, maka bermulalah
lembaran baharu dalam kehidupan kita, termasuk tugas-tugas yang perlu kita
laksanakan dan sasaran-sasaran yang mesti kita capai.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
2. Pada penghujung tahun 2014, beberapa buah negeri di
negara kita telah dilanda bencana banjir yang agak luar biasa. Bencana ini
bukan sahaja telah memusnahkan harta benda, malah menyebabkan kehilangan nyawa
selain menjejaskan sesi persekolahan. Saya berasa amat sedih dan dukacita
dengan kehilangan 25 nyawa yang menjadi korban banjir, termasuk dua orang guru
kita iaitu Allahyarham Mat Zaik Mohd Yusof dari Sekolah Kebangsaan RKT Seberang
Tayor dan Allahyarhamah Norhayati Sulong dari Sekolah Menengah Kebangsaan
Geliga, kedua-duanya di Kemaman, Terengganu. Bagi pihak Kementerian Pendidikan,
saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga mereka
tabah menghadapi ujian ini. Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah
kepada semua mangsa dan mudah-mudahan roh mereka ditempatkan bersama-sama
hamba-hambaNya yang soleh. Al-Fatihah.
3. Saya juga berharap agar guru-guru, pensyarah dan
pegawai yang terjejas akibat banjir supaya tabah menghadapi ujian IIahi ini.
Usah patah semangat untuk kembali bertugas seperti biasa dan terus menabur
bakti kepada anak bangsa. Saya berasa bangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh
guru-guru dan murid-murid di negeri-negeri yang dilanda banjir. Walaupun dalam
keadaan serba kekurangan, tanpa pakaian seragam yang lengkap, perabot yang
masih belum sempuna, sekolah yang masih belum bersih sepenuhnya, mereka tetap
hadir ke sekolah seperti biasa. Ketika saya sedang berucap di hadapan saudara
dan saudari sekarang ini, sebanyak 31 buah sekolah masih belum dibuka kerana
terjejas teruk akibat banjir. Saya telah mengambil keputusan supaya kelonggaran
diberikan kepada sekolah-sekolah ini untuk dibuka lebih lewat daripada biasa
supaya tumpuan dapat diberikan kepada kerjakerja pembersihan sekolah. Apabila
sudah siap, sekolah dapat dibuka semula dan murid-murid boleh mengikuti
pembelajaran dengan selesa dan selamat.
4. Saya
juga amat bersimpati dengan nasib ibu bapa yang terpaksa melalui keadaan yang
sukar untuk memulakan kehidupan baharu selepas bencana banjir, dengan harta
benda yang musnah, rumah yang rosak atau kehilangan tempat tinggal, dan pada
masa yang perlu membuat persediaan untuk anak-anak memasuki sekolah. Kerana itu
saya telah membuat keputusan supaya Bantuan Awal Persekolahan diberikan lebih
awal daripada biasa supaya ibu bapa dapat menggunakan bantuan kewangan yang
diberikan oleh kerajaan untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak.
Mudah-mudahan bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan sedikit sebanyak dapat
mengurangkan bebanan dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa dalam
menghadapi musibah ini.
5. Saya
sendiri telah melawat beberapa buah sekolah yang terjejas akibat bencana
banjir, iaitu Sekolah Kebangsaan Tanjung Chenok, dan Sekolah Kebangsaan Lati di
Pasir Mas, Kelantan; Sekolah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut, Pahang; dan
Sekolah Kebangsaan Lambor Kiri, Bota, Perak. Saya dapati banyak peralatan
sekolah seperti perabot, perkakasan ICT, peralatan makmal, buku teks dan
alat-alat bantuan mengajar yang musnah. Oleh itu, saya telah pun mengarahkan
Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Madinah, supaya menyalurkan
peruntukan segera kepada sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir untuk
membiayai kerja-kerja pembersihan dan pembaikan sekolah serta penggantian
peralatan yang musnah.
6. Saya juga
ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada
semua sukarelawan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan sekolah dan institusi
pendidikan yang terjejas akibat banjir. Ini termasuk para mahasiswa kita dari
universiti, politeknik, kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru serta semua
sukarelawan samada yang turun sebagai individu atau mewakili mana-mana NGO atau
pertubuhan. Tidak lupa juga kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), para
pegawai, anggota keselamatan dan semua pihak yang bekerja bertungkus lumus untuk
menyelaras misi bantuan banjir. Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendangkan.
Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penderma yang telah
bermurah hati menyumbangkan dana dan peralatan bagi kerja-kerja pembersihan
yang telah dilaksanakan. Sebagai tanda penghargaan kepada semua sukarelawan dan
dermawan yang budiman, saya telah bersetuju supaya Kementerian Pendidikan
mengeluarkan sijil penghargaan khas kepada mereka. Saya amat terharu kerana di
sebalik musibah yang berlaku ada juga hikmahnya. Rakyat Malaysia tanpa mengira
kaum dan agama telah menunjukkan rasa prihatin dan kebersamaan mereka untuk
membantu mangsa-mangsa banjir samada menerusi sumbangan tenaga, masa mahu pun wang ringgit.
Saya ucapkan syabas dan tahniah.
7. Untuk
menghadapi kemungkinan bencana banjir pada masa hadapan, saya menyarankan agar
sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang berada di kawasan-kawasan yang mudah
terdedah kepada bencana ini supaya melakukan persiapan lebih awal. Semua
peralatan yang berharga perlu disimpan di tempat yang lebih selamat supaya kita
dapat mengurangkan jumlah kerugian akibat banjir. Dalam musibah banjir
baru-baru ini, kos kerosakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi
di bawah KPM dianggarkan berjumlah hampir RM500 juta. Ini adalah satu jumlah
yang amat besar. Selain itu, pendidikan kesedaran mengenai bencana alam juga
perlu diberikan kepada murid dan ibu bapa supaya mereka lebih bersedia dari
segi mental dan fizikal dalam menghadapi sesuatu musibah serta dapat menjaga keselamatan
diri dan keluarga dengan baik.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
MEMPERKUKUHKAN
TRANSFORMASI PENDIDIKAN
8. Sepanjang
tahun lalu, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan inisiatif-inisiatif utama
yang digariskan di bawah Gelombang Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025. Alhamdulillah, Program Transformasi Daerah, LINUS, Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi, Penguasaan Bahasa Inggeris, Pengukuhan Kurikulum
Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral serta Piagam Guru dan Pemimpin Sekolah telah
mencapai KPI yang ditetapkan.
9. Selain
itu, proses penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan
Tinggi) 2015-2025 juga telah berjalan dengan lancar. Saya berharap agar tumpuan
dapat diberikan sepenuhnya kepada kerja-kerja menyiapkan PPPM (Pendidikan
Tinggi) yang akan menjamin kesinambungan antara inisiatif-inisiatif yang
dilaksanakan di sektor pelajaran dengan inisiatif di sektor pengajian tinggi.
Sektor Sekolah
10. Transformasi
pendidikan yang telah dimulakan pada tahun 2013 melalui pelancaran PPPM
2013-2025 akan terus diperkukuhkan pada tahun ini. Bagi sektor pelajaran, Kad
Skor Menteri 2015 merangkumi 20 inisiatif utama yang memberikan tumpuan kepada
Keberhasilan Murid berpandukan 6 Aspirasi Murid dan 5 Aspirasi Sistem yang
telah ditetapkan di bawah PPPM. Untuk membuktikan komitmen dan keseriusan kita dalam
melaksanakan apa yang telah dijanjikan, laporan prestasi akan terus dipantau
melalui Kad Skor Menteri, laporan tahunan dan kajian pertengahan tahun. Saya
yakin dengan perancangan dan pemantauan yang rapi semua inisiatif penting dalam
Gelombang Pertama PPPM 2013-2025 dapat dicapai pada penghujung tahun ini. Ini
termasuk memperkasakan guru dan pemimpin sekolah, menerapkan kemahiran berfikir
aras tinggi dan meningkatkan kemahiran berbahasa. Di samping itu, usaha untuk
memperkukuhkan aspek nilai, adab, perpaduan nasional dan semangat
patriotismeakan terus diberikan tumpuan utama selaras dengan matlamat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.
11. Untuk
memastikan kejayaan gelombang pertama PPPM dan sebagai persediaan melaksanakan
gelombang kedua mulai tahun 2016, saya menyeru agar peranan dan pelibatan ibu
bapa, komuniti dan pihak swasta diperluaskan, khususnya di sekolah-sekolah luar
bandar dan pedalaman. Saya pasti dengan usaha meningkatkan kualiti guru dan
pemimpin yang sedang giat dijalankan, serta sokongan kuat daripada ibu bapa dalam
membantu pembelajaran anak-anak di rumah, kita mampu mendidik murid dengan ilmu
pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni sebelum mereka melanjutkan
pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Pendidikan Teknik dan
Vokasional
12. Untuk
memenuhi permintaan tenaga mahir yang semakin meningkat dalam pasaran pekerjaan
di negara kita, transformasi pendidikan teknik dan vokasional akan diteruskan. Perancangan
strategik seperti meningkatkan penawaran tempat menerusi kerjasama dengan
sektor swasta akan giat dilaksanakan agar enrolmen pelajar dalam bidang teknik
dan vokasional dapat ditingkatkan.
13. Bagi
politeknik pula, tumpuan akan diberikan kepada peningkatan kualiti graduan
menerusi pelaksanaan program akreditasi dan pensijilan antarabangsa. Untuk itu,
saya berharap agar lebih banyak politeknik mendapat penarafan daripada badan
antarabangsa seperti Pacific Accreditation and Certification Commission
(APACC). Setakat ini, tiga buah politeknik iaitu, Politeknik Ungku Omar,
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Ibrahim Sultan telah
mendapat anugerah emas APACC yang membuktikan para lulusan politeknik sudah
mencapai standard antarabangsa dan mempunyai potensi untuk berjaya dalam
pasaran pekerjaan global.
14. Selain
politeknik, Kolej Komuniti turut memainkan peranan penting dalam melahirkan
tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri. Jaringan kerjasama dengan
syarikat-syarikat swasta perlu dipergiatkan untuk membuka peluang latihan yang
lebih luas khususnya dalam bidang-bidang kritikal. Satu contoh yang baik ialah
program Public-Private Partnership dan Industry on Campus yang dilaksanakan secara
kerjasama pintar bersama industri automotif pada tahun 2014. Pada tahun ini,
kolej komuniti bakal melatih 800 tenaga kerja bagi projek minyak dan gas di PIP
Pengerang dan 300 orang untuk projek Sapura Kencana Fabrication Yard di Lumut.
Pendidikan Tinggi
15. Dalam
menghadapi cabaran globalisasi, peranan Institusi Pendidikan Tinggi dilihat
lebih mencabar. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)
2015-2025 yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini merupakan satu usaha
untuk melahirkan Bakat Terpelajar dipacu Nilai (Learned Values-Driven Talent)
agar tranformasi negara menuju ekonomi dipacu pengetahuan (knowledge-driven
economy) dapat dicapai. Pelan ini juga akan menghasilkan kelompok bakat yang
inovatif dan kreatif disusuli dengan agenda New Academia dalam RMK-11.
16. Bertitik-tolak
daripada aspirasi yang terkandung dalam PPPM (Pendidikan Tinggi) ini, sektor
pendidikan tinggi disarankan untuk menyusun strategi yang lebih berkesan. Antara
langkah yang perlu diambil ialah:
Pertama, merekabentuk kurikulum holistik menerusi penilaian
semula disiplin ilmu di institusi pendidikan tinggi dengan melihat kepada
pendekatan antara-disiplin dan pelbagai-disiplin, memikirkan bentuk pekerjaan
yang belum lagi wujud, teknologi yang belum dicipta dan penyelesaian masalah
yang bakal berlaku. Di samping itu, dalam memenuhi tuntutan pembangunan negara,
aspek nilai dan tanggungjawab yang merupakan paksi peradaban masa depan perlu
diberikan penekanan. Kurikulum abad ke-21 juga perlu dibentuk selari dengan
aliran pembangunan dan kemajuan teknologi supaya relevan dengan persekitaran
semasa serta menekankan penggunaan “Higher Order Thinking and Creative Skills”(HOTaCS)
yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik. Seterusnya, pembudayaan
kurikulum holistik dan berintegrasi harus diterapkan menerusi penyampaian dan penilaian;
pembelajaran perkhidmatan dan inovasi; di samping penekanan terhadap ciri-ciri
keusahawanan dan kemahiran insaniah.
Kedua, memperkasa penyelidikan dan pengkomersialan. Dalam
agenda memperkasa ekonomi negara, penyelidikan memainkan peranan penting untuk menghasilkan
inovasi dan produk yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan negara. Sebagai
contoh, Public-Private Research Network (PPRN) yang diperkenalkan oleh Kerajaan
melalui KPM dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) merupakan
satu inisiatif baharu ke arah mencapai matlamat ini. Melalui inisiatif ini, peranan
institusi pengajian tinggi (IPT) dari segi pengkomersilan kepakaran serta hasil
R&D dapat membantu industri tempatan, khususnya Perusahaan Kecil Sederhana
(PKS) berkembang dengan lebih pesat dari segi aplikasi pengetahuan. Peranan IPT
dalam penyelidikan dan penyediaan perkhidmatan kepada komuniti, di samping
mendidik generasi akan datang dapat digambarkan melalui konsep Quadruple Helix,
iaitu satu jaringan kerjasama antara industri, akademia, kerajaan dan komuniti.
Bagi tahun 2015, di bawah inisiatif PPRN, Kementerian Pendidikan akan
mewujudkan 1,000 solution providers di mana semua IPT digalakkan untuk
memainkan peranan aktif untuk mencapai sasaran ini; dan Ketiga, memperkukuhkan
kedudukan universiti di peringkat antarabangsa menerusi dua strategi utama, iaitu
memperkukuhkan jaringan kolaborasi dengan negaranegara luar dan menaikkan
ranking universiti. Sehingga kini, beberapa memorandum telah ditandatangani
dengan negara-negara strategik seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Jerman,
Korea, Perancis, United Kingdom, dan UAE, di samping mewujudkan kerjasama
pendidikan pelbagai hala menerusi ASEAN, OIC, ASEM, IORAC dan MACEE. Kerjasama
ini akan memberikan pelbagai manfaat kepada negara seperti pendedahan penuntut Malaysia
di arena global melalui pertukaran pelajar dan staf, peningkatan produktiviti
negara menerusi kolaborasi penyelidikan dan pengkomersilan serta pemindahan teknologi.
Dari segi ranking universiti pula, pencapaian universiti awam pada masa ini
dalam 19 subjek menunjukkan 1 bidang subjek berada pada kedudukan ranking 50 ke
atas, iaitu USM dalam bidang Sains Alam Sekitar, 10 bidang subjek berada pada
kedudukan 51-100, 5 bidang subjek berada pada kedudukan 101-150 dan 3 bidang
subjek berada pada kedudukan 151-200. Walaupun kedudukan ini agak
memberangsangkan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. IPTA perlu mengambil,
membangun dan mengekalkan pensyarah tempatan dan antarabangsa yang terbaik.
Mereka merupakan individu yang memacu peningkatan kualiti pengajaran dan
pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta
sumbangan kepada industri dan masyarakat. Perkara ini dapat dilakukan menerusi
insentif kecemerlangan, pengiktirafan dan penyediaan persekitaran yang sesuai untuk
memajukan dan membangunkan kecemerlangan bakat.
17. Kementerian
sedar dalam usaha untuk meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi,
pemberian autonomi adalah satu daripada langkah penting untuk menjadikan pengurusan
IPTA lebih berdaya saing, kreatif dan fleksibel. Bagaimanapun, dalam hal ini
Kementerian amat menekankan prinsip asas yang perlu dipenuhi bagi memastikan
IPTA mampu memanfaatkan status autonomi sepenuhnya. Prinsip asas ini merupakan
sempadan dan skop universiti dalam melaksanakan autonomi yang diberikan.
Pematuhan kepada prinsip asas ini adalah penting kerana walaupun university diberikan
autonomi penuh, kerajaan masih bertanggungjawab keatas autonomi tersebut.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
CABARAN NEGARA PADA 2015
DAN SETERUSNYA
18. Melangkah
ke hadapan, seluruh warga Kementerian mesti sentiasa menyantuni harapan
masyarakat yang melihat pendidikan sebagai satu wadah penting pembangunan modal
insan untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju. Pada waktu yang sama,
kita juga mesti menggembleng seluruh kudrat untuk menghadapi beberapa cabaran
utama yang memberikan kesan langsung terhadap perancangan pendidikan di negara
kita.
19. Cabaran
pertama ialah perkembangan ekonomi ASEAN. Dalam tempoh lima tahun mendatang,
rantau ASEAN akan muncul sebagai blok ekonomi yang kelima terbesar di dunia
selepas Amerika Syarikat, China, Jepun dan India. Perkembangan ini pastinya
akan merangsang perniagaan dan perdagangan dalam negeri dan antara
negara-negara ASEAN. Dengan pelaksanaan Komuniti ASEAN bermula pada tahun ini, Malaysia
perlu bersedia menghadapi persaingan ekonomi, keselamatan dan kebudayaan yang
lebih terbuka antara negara anggota. Dalam konteks ini, sektor pengajian tinggi
khususnya perlu merangka satu perancangan strategik untuk menangani cabaran
mobiliti tenaga kerja mahir dalam pasaran pekerjaan serantau yang lebih
terbuka.
20. Cabaran
kedua ialah peningkatan dalam hubungan antarabangsa. Kita perlu sentiasa peka
terhadap perubahan dan kemajuan di peringkat antarabangsa serta ketidakpastian pada
masa akan datang. Menyedari keperluan untuk sector pendidikan berkembang
seiring dengan perkembangan pendidikan dunia, Kementerian Pendidikan telah
mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan jalinan kerjasama di peringkat
antarabangsa dengan pelbagai negara peneraju seperti Amerika Syarikat, China
dan Australia. Kementerian komited untuk melaksanakan jaringan kerjasama
antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif baharu seperti penyelidikan, latihan pra
dan dalam perkhidmatan untuk tenaga pengajar, program penandaarasan dan
mobiliti pelajar.
21. Kejayaan
kita dalam bidang pendidikan turut diiktiraf oleh pihak luar apabila kita
sering kali menjadi sumber rujukan badan-badan antarabangsa seperti UNESCO,
UNICEF dan Bank Dunia terutamanya dalam usaha mentransformasi sistem pendidikan
di beberapa buah negara seperti Iraq, Yemen, Oman, Bhutan dan Nepal. Penyertaan
Malaysia dalam 7th Islamic Conference of Ministers of Higher
Education and Scientific Research di Rabat, Maghribi pada 18-19 Disember 2014
baru-baru ini contohnya, menyaksikan Malaysia akan menerajui negara-negara
Islam ke arah kecemerlangan pendidikan bagi manfaat agama dan ummah seluruhnya.
Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menerajui pembangunan
pengkomersilan khusus, pembelajaran sepanjang hayat, pendidikan keusahawanan
dan juga penyelidikan dan inovasi sebagai usaha kolaboratif dalam kalangan
negara anggota OIC. Atas kepercayaan yang diberikan, Malaysia akan menerajui
penubuhan OIC Collaborative Efforts in Commercialization and Entrepreneurship
Education (OIC-CECE) yang akan menjadi pusat rujukan bagi negara-negara anggota
OIC.
22. Cabaran
yang ketiga ialah mengupaya peranan Kementerian dalam pelaksanaan RMK-11. Satu
daripada peranan penting yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian
Pendidikan dalam RMK-11 nanti ialah memastikan negara “Memanfaatkan Bakat”
iaitu menghasilkan Modal Insan Minda Kelas Pertama yang mampu menggunakan pengetahuan
secara proaktif, kreatif dan inovatif. Modal insane yang dilahirkan oleh sistem
pendidikan kita perlu berupaya menangani persekitaran global yang sentiasa
berubah, meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang kepada kesejahteraan dan
kekayaan negara.
23. Untuk
memenuhi tuntutan ini, Kementerian mesti merangkumkan semua aspek penjelmaan
modal insan yang mampu memacu Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan
tinggi menjelang tahun 2020. Ini termasuklah aspek kualiti pelajar, tenaga
pengajar, kepimpinan institusi, pengurusan kewangan, program pengajian dan
pembangunan institusi. Dalam RMK-11, program-program yang dilaksanakan mestilah
berimpak tinggi (high impact), berpelaksanaan cepat (rapid execution) dan
bertransformasi.
24. Cabaran
yang keempat ialah kepesatan teknologi. Kejayaan dalam bidang sains dan
teknologi telah menyebabkan dunia menjadi semakin kecil dan kompetitif. Pada
masa yang sama, kemajuan teknologi juga telah menghasilkan “game-changer” iaitu
perubahan pada corak, cara dan gaya hidup manusia. Penggunaan internet secara berleluasa
telah mewujudkan komuniti internet yang secara agresif berusaha untuk
mendapatkan maklumat dan juga menyebarkan maklumat melalui pelbagai jaringan
siber. Atas nama “kebebasan”, komuniti internet ini telah menyebarkan pelbagai
maklumat melalui jaringan-jaringan siber. Maklumat ini sama ada benar atau pun
tidak mudah menjadi “viral” umpama sel kanser dan virus yang merebak menembusi
segala bentuk benteng dan halangan. Jelasnya, pembangunan dalam bidang teknologi
ini walaupun mempunyai banyak kelebihan tetapi banyak juga cabaran yang perlu
dihadapi khususnya dalam mendidik insan supaya menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
PENDIDIKAN BERTUNJANGKAN
NILAI, KELESTARIAN ALAM SEKITAR DAN PERPADUAN
25. Keempat-empat
cabaran yang saya sebutkan tadi jelas menuntut agar generasi masa hadapan
dididik dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni. Kita perlu kembali
kepada tujuan asas pendidikan iaitu bukan sahaja untuk melahirkan insan yang
berpengetahuan (knowledge person) tetapi insan yang berguna (useful person) dan
warga negara yang baik (good citizen) yang boleh menyumbang sesuatu yang
bermanfaat kepada masyarakat dan negara. Dalam usaha membangunkan Malaysia
sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika
yang utuh serta sifat penyayang, adil dan saksama dalam kalangan warga Malaysia
yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam
sistem pendidikan kita.
26. Saya
percaya bahawa pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara maju tanpa menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan
dan keadilan sosial dalam masyarakat. Dalam konteks ini, jurang pendapatan yang
masih wujud di negara kita perlu ditangani dengan berkesan untuk memastikan
Malaysia terus kekal stabil dan harmoni. Justeru, saya berharap agar institusi
pendidikan di negara kita dapat memainkan peranan yang penting dalam memastikan
pertumbuhan ekonomi negara disertai dengan pembahagian kekayaan yang adil dan
saksama. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan penubuhan Malaysian Inclusivity,
Development and Advancement Institute (MINDA) di Universiti Kebangsaan Malaysia
yang akan menjalankan kajian-kajian khusus untuk menangani isu ketidaksaksamaan
sosial dan ekonomi dalam masyarakat dengan memberikan penekanan kepada
pembangunan dan kemajuan ekonomi yang bersifat inklusif serta mengecilkan
jurang pendapatan rakyat.
27. Selain
itu, dalam keghairahan kita mengejar kemajuan ekonomi, jangan kita abaikan
tanggungjawab memelihara alam sekitar. Ini termasuk penerokaan hutan yang
berleluasa sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran air, kejadian tanah
runtuh dan juga banjir besar seperti yang dialami di negara kita baru-baru ini.
Sebaliknya, kita mestilah sentiasa mementingan keseimbangan antara pembangunan
ekonomi dan kelestarian alam sekitar yang menjadi penentu kesejahteraan hidup
generasi masa hadapan.
28. Dalam
konteks ini, saya ingin memetik satu pemerhatian penting yang dibuat oleh
Jeffrey D Sachs, seorang pakar ekonomi yang tersohor di dalam bukunya “Common
Wealth: Economics for a Crowded Planet” yang saya fikir wajar direnung oleh
kita semua. Beliau menyebut:
“The
world’s ability to combine long-term economic growth with environmental health
is heavily debated. Yet one thing is certain: the current trajectory of human
activity is not sustainable. If we simply do what we are doing on the planet
with unchanged technology, the environmental underpinnings of global well-being
will collapse. The limits of the environment itself will defeat our global
aspirations for prosperity”
29. Untuk
mengelakkan masa depan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat kita
terjejas akibat sumber alam yang tidak diurus dengan baik, saya mencadangkan supaya
universiti-universiti di negara kita memberikan focus kepada kajian mengenai
pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari. Universiti yang mempunyai
kepakaran dalam bidang ini digalakkan membuat kajian berimpak tinggi yang
berfokus kepada pengurusan sumber alam, penghasilan teknologi hijau, penciptaan
tenaga boleh dibaharui (renewable energy), seni bina mesra alam, hidrologi dan
bidang-bidang lain yang berkaitan. Sudah sampai masanya kita menjajarkan semula
pendekatan pembangunan negara dengan melihat pemeliharaan alam sekitar sebagai
satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan ekonomi dan
kesejahteraan hidup rakyat di masa hadapan.
30. Satu lagi
bidang utama yang perlu diteroka oleh ahli-ahli akademik di negara ini ialah
pengurusan bencana. Bidang ini menjadi semakin penting di Malaysia. Kejadian
tanah runtuh, jerebu dan banjir yang kerap berlaku di negara kita mutakhir ini memerlukan
satu pendekatan yang komprehensif dan berkesan dalam pengurusan bencana. Ini
termasuk aspek pengurusan alam sekitar, persiapan menghadapi bencana, program
kesedaran masyarakat, penyelarasan bantuan, komunikasi dan pembinaan semula
kawasan yang terjejas akibat bencana. Jika kita dapat mengurus bencana dengan baik,
saya percaya kita akan dapat menyelamatkan banyak nyawa selain mengelakkan
kerugian berbillion ringgit akibat kerosakan infrastruktur dan kemusnahan harta
benda.
31. Justeru,
sukacita saya mengumumkan penubuhan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan
Negara yang memfokuskan kepada aspek pengurusan bencana dan juga pemberian dana
penyelidikan khas dalam bidang pengurusan bencana dan mitigasi banjir berjumlah
RM20 juta yang boleh dipohon oleh IPT melalui Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang
(LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS). Adalah diharapkan hasil
kajian yang bakal dilaksanakan dapat menyumbang kepada pemantapan pengurusan
bencana di negara ini.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
32. Jelas
sekali bahawa modal insan atau bakat yang perlu dibangunkan melalui sistem
pendidikan negara bukan sahaja mampu memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi, tetapi
juga perlu disertai dengan penghayatan nilai dan adab yang tinggi. Matlamat ini
adalah selaras dengan tujuan Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari ataupun
Education for Sustainable Development (ESD) yang menekankan keberhasilan modal insan
yang holistik, peka terhadap alam sekitar dan bertangunggjawab.
33. Selain
itu, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, aspek perpaduan nasional
perlu terus menjadi pancang dasar dan program pendidikan di negara ini. Kita
tidak boleh sama-sekali mengenepikan aspek perpaduan nasional sebagai teras
keamanan, kestabilan dan kemajuan negara. Untuk itu, Kementerian Pendidikan
akan memberikan penekanan khusus kepada pengukuhan perpaduan nasional dan
pembinaan semangat patriotisme di setiap peringkat pendidikan menerusi
pelaksanaan program pendidikan kenegaraan yang lebih berstruktur.
34. Justeru,
dalam melahirkan insan yang sempurna atau insān kāmil, kita perlu kembali
menghayati asas-asas yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
iaitu satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis
dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
PESANAN KEPADA GURU,
PENSYARAH, PELAJAR, PEGAWAI KEMENTERIAN, IBU-BAPA DAN KOMUNITI
35. Kepada
guru-guru dan pensyarah, hayatilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita.
Sentiasalah ingatkan diri kita bahawa tugas sebagai pendidik adalah satu tugas
yang amat mulia. Menjadi pendidik bukanlah semata-mata suatu profesion, tetapi
suatu perjuangan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi insan yang seimbang.
Saya percaya jika saudara dan saudari semua mengabdikan seluruh jiwa dan raga
kepada tugas yang paling mulia ini, maka kita akan berjaya mencapai matlamat
pendidikan yang paling asas, iaitu mendidik insane dengan adab dan pekerti yang
mulia. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis:
Addabanī rabbī fa ahsana
ta’dībī
Yang bermaksud:
“Sesungguhnya Tuhanku
telah mendidik adabku dan Dia memperelokkan pengajaran-Nya terhadapku”
36. Kepada
para pelajar, berikanlah tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran.
Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat
dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya. Dalam menghadapi
persaingan global yang semakin sengit hari ini, banyak ilmu dan kemahiran
baharu yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan. Jadi, berusahalah
menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang
terbaik akan berjaya. Only the best
among you will survive and thrive.
37. Kepada ibu
bapa, saya amat mengharapkan sokongan dan pelibatan anda semua dalam menjayakan
dasar dan program pendidikan di negara ini. Saya tahu ibu bapa hari ini mempunyai
harapan yang amat tinggi kepada Kementerian Pendidikan. Mereka berharap agar
Kementerian kita ini dapat menyediakan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka.
Kita sedang melakukan yang terbaik menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia yang meliputi inisiatif-inisiatif baharu daripada peringkat
pra-sekolah hinggalah ke pendidikan tinggi untuk meningkatkan kualiti
pendidikan di negara kita. Namun, saya percaya kita memerlukan satu usaha kolektif
antara kerajaan, ibu bapa dan komuniti untuk menjayakan hasrat pendidikan
Negara. Untuk itu, tiada apa yang saya harapkan daripada para ibu bapa dan
masyarakat, melainkan sokongan dan dokongan anda semua terhadap segala
inisiatif KPM untuk melonjakkan kualiti pendidikan.
38. Kepada
pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan, anda adalah pembuat dasar dan
sebahagiannya merupakan pelaksana dasar. Bagi saya, dasar yang baik adalah
dasar yang boleh dilaksanakan dengan baik. Sehubungan itu, suka saya ingin
berpesan kepada pegawai-pegawai saya di Kementerian, apabila kita menggubal
sesuatu dasar kajilah secara terperinci bagaimana dasar ini hendak dilaksanakan
di bawah. Tanya diri kita adakah dasar yang kita gubal itu boleh dilaksanakan
dengan baik atau tidak? Adakah para pelaksana dasar mempunyai keupayaan yang
diperlukan untuk melaksanakannya? Lebih penting lagi, adakah dasar itu boleh diterima
dengan baik oleh semua pemegang taruh (stakeholders)? Kata kunci kepada
persoalan ini adalah engagement atau pelibatan semua pemegang taruh dalam proses
pembuatan sesuatu dasar. Dapatkan pandangan semua pihak secara menyeluruh,
kemudian kajilah dengan teliti semua pandangan itu sebelum sesuatu dasar
dimuktamadkan.
39. Saya
percaya bahawa proses engagement ini telah pun dilaksanakan di Kementerian
kita. Sebagai contoh, penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia melibatkan
engagement dengan ribuan individu sehinggakan kita dapat menghasilkan satu
perancangan yang komprehensif untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara.
Teruskanlah proses engagement supaya kita dapat mencapai keberhasilan yang
terbaik daripada setiap dasar atau inisiatif yang diperkenalkan oleh
Kementerian.
PENUTUP
40. Saya yakin
transformasi pendidikan yang telah kita garap akan berjaya sekiranya kita
berusaha tanpa mengenal erti putus asa, bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan berkhidmat
dengan komitmen yang tinggi lagi berintegeriti. Kita perlu berusaha dan berubah
daripada amalan biasa untuk melaksanakan transformasi pendidikan. Dalam konteks
ini, marilah kita menghayati firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah
Al-Ra’du, ayat 11:
“Sessunguhnya
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang
mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri’.
41. Sehubungan
ini, saya, YB Menteri Pendidikan II danTimbalan-Timbalan Menteri sebagai
anggota pentadbiran menaruh harapan yang tinggi kepada pihak pengurusan Kementerian
Pendidikan yang diterajui oleh Tan Sri Dr. Madinah Mohamad selaku Ketua
Setiausaha, Dato’ Seri Ir Dr. Zaini Ujang selaku Ketua Setiausaha II,
Ketua-Ketua Pengarah dan seluruh warga Kementerian untuk memikul tanggungjawab merealisasikan
aspirasi dan sasaran Kementerian yang telah dijanjikan kepada rakyat. Marilah
kita bersama-sama berdoa kepada Allah s.w.t. agar dipermudahkan segala urusan
kita.
InsyaAllah.
Ruyung dilelas sagu
bersisa
Letih dan lelah tidak
diendah
Berpayung menggalas
amanat nusa
Kerja yang rumit menjadi
mudah
42. Akhir
kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih
kepada semua warga Kementerian Pendidikan atas komitmen anda dalam melaksanakan
segala tugas yang diamanahkan.
Wabillahi al-taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
16 Januari 2015
Sunday, 25 January 2015
Tuesday, 13 January 2015
Monday, 12 January 2015
Saturday, 10 January 2015
PERUTUSAN YAB DATO’ MENTERI BESAR NEGERI TERENGGANU SEMPENA SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh, selamat
sejahtera dan salam 1 Malaysia.
Pendahuluan
1. Alhamdulillah,
saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan
limpah kurnia-Nya telah dapat saya menyampaikan perutusan sempena permulaan
sesi persekolahan tahun 2015 bagi sekolah-sekolah di negeri Terengganu. Saya bersama barisan
kepimpinan kerajaan juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut
Tahun Baharu 2015. Mudah-mudahan pada tahun ini kecemerlangan dalam pendidikan
dapat kita sama-sama pertingkatkan lagi. Sesungguhnya tahun 2014 telah banyak
memaparkan episod suka duka warga pendidik, PIBG dan para pelajar dalam mengharungi pelbagai cabaran demi memahat
sejarah kecemerlangan pendidikan di negeri Terengganu. Bagi pihak kerajaan saya
mengucapkan syabas dan terima kasih.
2. Setiap kecemerlangan
kita akan warisi melalui tiga tahap masa, iaitu masa lalu, masa sekarang dan
masa akan datang. Masa lalu merupakan catatan sejarah, masa ini adalah masa
yang penuh dengan cabaran, sementara masa akan datang pula merupakan suatu
pengharapan berbentuk misteri. Semuanya penting, urutan perubahan masa inilah
yang telah banyak mematangkan kita dalam perjuangan memperkasakan pendidikan.
Transformasi
Terengganu Baharu (TTB)
3. Sebagai insan
yang telah diberi amanah untuk memimpin pembangunan negeri Terengganu, saya dan barisan kepimpinan telah
memperkenalkan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) sebagai strategi memacu
pentadbiran ke arah memenuhi kehendak rakyat. Terdapat 8 prinsip yang
mendokongi Transformasi Terengganu Baharu, prinsip ke-8 ialah Memperkasakan Pendidikan.
4. Proses Memperkasakan
Pendidikan memerlukan suatu transformasi yang berani dan berterusan. Maka
sebagai seorang bekas pendidik saya sangat memahami bahawa penggerak utamanya
adalah para guru. Sentuhan warga pendidik adalah sentuhan “keramat” yang mampu
dijana melewati pemikiran biasa. Dengan izin Allah SWT kita telah buktikan
prestasi pencapaian UPSR pada tahun 2014
sebagai Juara 5A, Juara GPA, Juara kelulusan minima gred C. Alhamdulillah,
sifat muafakat membawa berkat terserlah dengan nyata sekali diantara pihak
pengurusan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan
Daerah (PPD), sekolah, PIBG dan pelbagai agensi. Adunan inilah yang memberi
kekuatan luar biasa bagi pendidikan negeri Terengganu.Apa tidaknya, anda warga
pendidik telah menabur khidmat bakti tanpa mendahulukan upah dan laba. Syabas
dan terima kasih semua. Doa saya agar semua dilimpahi barokah daripada Allah
SWT hendaknya.
5. Inilah sebenarnya kalimat indah yang sentiasa berlegar
di sanubari saya, warga pendidik yang dimiliki oleh negeri Terengganu ini bukan
alang kepalang. Sentiasa berdiri gagah di barisan hadapan, sentiasa berpasakkan
angan menerobosi realiti kehidupan, yang pasti rintangan mendatang tetap
dianggap peluang. Demi anak didiknya, jika patah sayap bertongkat paruh murid
pasti dalam ingatan, walaupun kadang-kala belaian kasih anak sendiri tidak
kesampaian. Pengorbanan anda semua, saya
dan barisan kepimpinan tidak akan kesampingkan, malah sentiasa mensyukuri. Kami juga insaf dan sedar bahawasanya apa jua
kemenjadian kita, sehingga petah menyebut alif, ba, ta, a, b, c, dan mengira 1,
2, 3 semuanya berasal daripada seorang guru biasa. Percayalah anda warga
pendidik dan khalayak pendidikan sentiasa dekat di hati kami. Tanpa anda
siapalah kami.
6. Saya melihat
sumbangan warga pendidik mempunyai impak yang tinggi dalam melaksanakan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu
gerakan secara berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sebab itulah melalui Transformasi
Terengganu Baharu (TTB) saya menjadikan agenda pembangunan pendidikan sebagai
salah satu prinsip yang perlu diberi keutamaan. Dalam hal ini sekali lagi saya
menyeru warga pendidik ,marilah kita memperkemaskan tekad untuk terus melestarikan kecemerlangan. Sederapkan
langkah perbetulkan arah, insya Allah segala yang payah akan dipermudah dan
yang betul tidak lagi dipersalah.
7. Kluster Pendidikan di bawah PUTRA ditubuhkan
oleh kerajaan adalah semata-mata untuk merancang, memantau serta menambah nilai
keberkesanan perancangan pembangunan pendidikan. Kecemerlangan akademik,
ko-kurikulum dan adab-adab hidup bermasyarakat
menjadi pertimbangan utama. Saya dan barisan kepimpinan tertinggi
kerajaan ingin melihat pelajar-pelajar yang terdidik daripada institusi
pendidikan di negeri Terengganu yang terkenal dengan NEGERI ANJUNG ILMU ini,
berani berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Malah kita ingin sekali
membantu golongan pelajar yang berjiwa besar meneroka ilmu duniawi dan ukhrawi
selari dengan kepesatan perubahan teknologi yang berkualiti tinggi.
8. Oleh sebab itulah
semasa pembentangan bajet negeri Terengganu tahun 2015 yang lalu, saya
menekankan roh pentadbiran yang berdimensi baharu ini berslogankan DARI
RAKYAT KEPADA RAKYAT UNTUK RAKYAT.Maka dalam skop inilah juga saya
dengan berlapang dada turut menyeru warga pendidik di segenap penjuru alam,
mari kita imarahkan “Muafakat itu Membawa Berkat”. Dalam soal pendidikan kita
tidak ada kompromi. Biarlah kita tidak popular di kalangan kelompok tertentu,
asalkan masa depan rakyat terpelihara.
Apa lagi yang lebih penting selain ilmu penuh di dada, sekali kita telah dinobatkan sebagai juara dipersada,
tidak mungkin lagi kita menoleh ke belakang. Kita buktikan SOLIDARITI bukan
sekadar cakap tetapi kita warga pendidik amalkan secara cermat dan berhemat.
Kepekaan dengan dasar-dasar kerajaan
9. Dasar pendidikan yang digubal menggambar
aspirasi kerajaan bagi menentukan hala tuju pendidikan negara dan menjadi teras
kepada matlamat Wawasan 2020 yang hanya berbaki kira-kira lima tahun sahaja
lagi. Tempoh sesingkat ini tidak langsung memungkinkan kita warga pendidikan
leka dengan isu-isu picisan yang boleh membantut kerancakkan kecemerlangan
selari dengan harapan pucuk pimpinan tertinggi negara yang berhasrat menjadikan
pendidikan bertaraf dunia.
10. Integriti merupakan asas kepada tadbir urus
pendidikan yang berkualiti. Integriti atau kejujuran seseorang pendidik itu
lebih penting daripada ilmu dan kepakaran dalam penyampaian ilmu kepada para
pelajar. Seorang pendidik yang berintegriti akan melaksanakan amanah sebagai
seorang pendidik dengan hati yang tulus ikhlas. Ilmu dan kemahiran yang
dicurahkan kepada muridnya akan tiba ke hati secara bermakna. Sebaliknya
pendidik yang tidak berintegriti pengajarannya hanyalah sekadar penyampaian
dari metakognitif semata-mata. Kefahaman memang ada tetapi ketibaan makna ilmu
tidak kesampaian. Saya amat serius dalam aspek ini, sebab itu di dalam Transformasi
Terengganu Baharu, integriti tercatat sebagai prinsip ke- 4.
11. Saya suka
mengingatkan diri saya dan warga pendidik sekalian agar terus membudayakan
KECIL BAGI KITA BESAR BAGI RAKYAT sebagai tagline
yang perlu dihayati demi menyahut harapan YAB Dato’ Sri Perdana Menteri
Malaysia yang mengharapkan semua penjawat awam agar mendahulukan kehendak
rakyat, tanpa mengabaikan kualiti pencapaian. Sama-samalah kita menggunakan
semua strategi yang ada untuk membantu masyarakat merasai nikmatnya menjadi
insan ternama yang terbina melalui pendidikan. Bagi rakyat jelata, guru adalah
segala-galanya bagi mereka, untuk mengajar dan mendidik anak-anak sendiri
ilmunya tiada. Mungkin bagi kita bimbingan membaca, menulis dan mengira di kelas tambahan dianggap sumbangan kecil
sahaja, tetapi bagi ibubapa sungguh besar maknanya. Jika ini boleh dijadikan
suatu budaya dalam strategi pengajaran guru, saya begitu yakin di negeri
Teregganu ini tidak akan kita ketemui GURU YANG FAKIR FIKIR.
12. Saya perlu mengingatkan seluruh warga
pendidik di negeri Terenggaanu mengenai
betapa perlunya istiqamah dalam usaha
melaksanakan pelbagai program pendidikaan yang Berjurus dan fokus,
supaya hasrat yang terkandung dalam Transformasi Terengganu Baharu (TTB)
tercapai dalam masa terdekat. Berada di lapangan dan turun padang merupakan
kaedah penyampaian ilmu yang berimpak
tinggi. Keluh kesah pelanggan dapat dilihat dengan mata hati, ini secara terus
akan menzahirkan keinsafan yang tulus dan kudus. Mudah-mudahan rasa kesangsian
segera terhapus.
Harapan
13. Sebelum tahun 2014
melabuhkan tirainya, negeri Terengganu yang kita sayangi ini telah ditimpa
bencana banjir yang teruk. Beberapa daerah telah mengalami kerosakan harta
benda dan kesulitan meneruskan aktiviti seharian. Maka sekali lagi saya dapat
melihat penglibatan para pendidik di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir telah
bertugas dengan penuh gigih dan sabar, walaupun ada di antara mereka yang diuji
dengan pelbagai cabaran karenah mangsa perpindahan. Tuan-tuan semua orang yang
hebat. Rupa-rupanya tugas seorang pendidik jauh lebih luas dan mencabar.
Bermula di dalam bilik darjah, di padang, di bukit, di sawah malah dilautan sekalipun
dalam bertugas guru tidak mudah mengalah. Kepada semua warga pendidik saya
ucapkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga.
14. Pendidik juga ibarat petani yang menabur
benih segenggam, kepingin melihat padi sebendang, tetapi kadangkala benih yang
ditabur menjadi lalang seluas pandangan. Demikian kias ibarat orang Melayu lama,
hanyasanya kita hendaklah berusaha dan berikhtiar tetapi pada masa yang
sama jangan pula lupa bertawakkal kepada
Allah SWT. Memang kita boleh merancang untuk meraih kecemerlang, namun perancangan
Allah SWT jualah yang menjadi penentu akhirnya. Jangan kita mudah kecewa dan
berputus asa, bersabar itu sebahagian daripada iman.
15. Sempena permulaan sesi persekolahan tahun
2015, saya sekali lagi bagi pihak barisan kepimpinan dan kerajaan mengucapkan
terima kasih dan melahirkan perasaan bangga di atas khidmat bakti warga
pendidik yang telah melaksanakan amanah sepanjang tahun 2014. Selamat menjalankan
tugas diucapkan kepada semuawarga pendidik pada tahun
2015. Kepada murid-murid saya ucapkan selamat belajar, kuatkan semangat,
perkasakan jati diri mudah-mudahan bibit kejayaan pasti dinikmati. Marilah kita
berpadu tenaga dalam menterjemahkan perancangan pendidikan kepada sebuah
realiti bukannya sebuah fantasi.
Sesungguhnya kepada
Allah saya berserah. Cucurilah rahmat ke atas warga pendidik kami supaya tidak
berpaling arah.
Sekian. Wabillahi taufiq
wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih
YAB Dato’ Hj. Ahmad
Razif bin Abd. Rahman,
Menteri Besar Terengganu, Darul Iman.
Thursday, 8 January 2015
Misi Bantuan Kemanusiaan PPD HT untuk mangsa banjir Kuala Krai, Kelantan
Seramai 11 orang terdiri daripada pegawai, penyelia dan staf sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu telah turut serta dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Sukrelawan OKB bersama YBM Dato' Tengku Putera Tengku Awang, ADUN Kuala Berang telah ke Kuala Krai pada 02 Januari 2015.
Tujuan misi tersebut adalah untuk menyampaikan bantuan yang telah dikumpul oleh Warga Pendidikan Daerah Hulu Terengganu dalam meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir di Kuala Krai. Rombongan telah menziarahi Kampung Kuala Nal dan juga Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Krai.
Ahli rombongan:
Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin, KPPD PPD Hulu Terengganu
Encik Jalaluddin bin Ismail, TKPPD PPD Hulu Terengganu
Tuan Haji Abdul Rahman bin A. Bakar, PPPD (Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan) PPD HT
Encik Rashid bin Taib, Kuanselor Organisasi, PPD HT
Encik Mohd Yusof bin Embong, PPPD (Penilaian & Peperiksaan) PPD HT
Encik Afandi bin Abdul Ghani, PPPD (Kemanusiaan) PPD HT
Encik Hisyamuddin bin Mustapha, PPD (Bahasa), PPD HT
Encik Azeman bin Othman, Fasi LINUS, PPD HT
Encik Esham bin Busu, PPPD (PPDa) PPD HT
Encik Wan Mahadi bin Mohd Salim, Penyelia Sukan, PPD HT
Encik Adnan (EIO)
Turut serta:
Encik Roslan, Ketua Unit Sukan JPNTr
Encik Suhaimi Wahab, GB SK Guntung, Setiu, Terengganu
Thursday, 1 January 2015
Selamat Tahun Baru 2015...
Ketua Unit : Tuan Haji Abdul Rahman A. Bakar (PPPD Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan)
Ahli Unit : Encik Azmi bin Mahmud (PPPD Pengurusan Sukan)
Ahli Unit : Puan Zaitun binti Mohd Zaki (PPPD HEM)
Ahli Unit : Encik Esham bin Busu (PPPD PPDa)
Ahli Unit : Encik Wan Mahadi bin Mohd Salim (Penyelia Sukan)
Ahli Unit : Encik Mohd Pauzi bin A. Rahman (Penyelia HEM)
Ahli Unit : Encik Mohd Fariz bin Ghazali (Penyelia Kokurikulum)
Ahli Unit : Encik Azmi bin Mahmud (PPPD Pengurusan Sukan)
Ahli Unit : Puan Zaitun binti Mohd Zaki (PPPD HEM)
Ahli Unit : Encik Esham bin Busu (PPPD PPDa)
Ahli Unit : Encik Wan Mahadi bin Mohd Salim (Penyelia Sukan)
Ahli Unit : Encik Mohd Pauzi bin A. Rahman (Penyelia HEM)
Ahli Unit : Encik Mohd Fariz bin Ghazali (Penyelia Kokurikulum)
Subscribe to:
Posts (Atom)