Glitter Text Generator at TextSpace.net

Tuesday 27 January 2015

Peristiwa : Mesyuarat Pengurusan Hal Ehwal Murid Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Terengganu Bil. 1 Tahun 2015

Ucaptama oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu

Ceramah Jemputan daripada PDRM oleh Inspektor Mohd Salam bin Zainal Abidin, Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Hulu Terengganu

Turut Hadir
Puan Zaiton bin Mohd Zaki, Pen. PPD (HEM), PPD Hulu Terengganu
Encik Esham bin Busu, Pen. PPD (PPDa), PPD Hulu Terengganu
Encik Mohd Pauzi bin Ab. Rahman, Penyelia HEM, PPD Hulu Terengganu

Teks Ucapan Perutusan Tahun Baharu YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
DI MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2015
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Yang Berhormat Dato’ Seri Idris bin Jusoh, Menteri Pendidikan II
Yang Berhormat Datuk Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan I
Yang Berhormat Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan, Timbalan Menteri Pendidikan II
YBhg. Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia
YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia
YBhg. Ketua - Ketua Pengarah
YBhg. Pengerusi-Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti
YBhg. Naib Canselor Universiti-Universiti
YBhg. Tan Sri-Tan Sri/ Dato’ Seri-Dato’Seri/ Datuk-Datuk/
Dato’-Dato’/ Datin-Datin tuan-tuan/ puan-puan dan hadirin yang dihormati sekalian.

1.         Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua kita dapat bersama-sama menghadiri Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan Malaysia pada pagi ini. Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan, termasuk para pegawai kementerian, guru, pensyarah, mahasiswa, murid dan tidak lupa juga kepada para ibu-bapa di seluruh negara. Saya ingin mengambil kesempatan di awal ucapan saya ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang telah berusaha dengan gigih dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan sepanjang tahun lalu. Dengan ketibaan tahun baharu ini, maka bermulalah lembaran baharu dalam kehidupan kita, termasuk tugas-tugas yang perlu kita laksanakan dan sasaran-sasaran yang mesti kita capai.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2. Pada penghujung tahun 2014, beberapa buah negeri di negara kita telah dilanda bencana banjir yang agak luar biasa. Bencana ini bukan sahaja telah memusnahkan harta benda, malah menyebabkan kehilangan nyawa selain menjejaskan sesi persekolahan. Saya berasa amat sedih dan dukacita dengan kehilangan 25 nyawa yang menjadi korban banjir, termasuk dua orang guru kita iaitu Allahyarham Mat Zaik Mohd Yusof dari Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor dan Allahyarhamah Norhayati Sulong dari Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga, kedua-duanya di Kemaman, Terengganu. Bagi pihak Kementerian Pendidikan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga mereka tabah menghadapi ujian ini. Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada semua mangsa dan mudah-mudahan roh mereka ditempatkan bersama-sama hamba-hambaNya yang soleh. Al-Fatihah.

3. Saya juga berharap agar guru-guru, pensyarah dan pegawai yang terjejas akibat banjir supaya tabah menghadapi ujian IIahi ini. Usah patah semangat untuk kembali bertugas seperti biasa dan terus menabur bakti kepada anak bangsa. Saya berasa bangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh guru-guru dan murid-murid di negeri-negeri yang dilanda banjir. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, tanpa pakaian seragam yang lengkap, perabot yang masih belum sempuna, sekolah yang masih belum bersih sepenuhnya, mereka tetap hadir ke sekolah seperti biasa. Ketika saya sedang berucap di hadapan saudara dan saudari sekarang ini, sebanyak 31 buah sekolah masih belum dibuka kerana terjejas teruk akibat banjir. Saya telah mengambil keputusan supaya kelonggaran diberikan kepada sekolah-sekolah ini untuk dibuka lebih lewat daripada biasa supaya tumpuan dapat diberikan kepada kerjakerja pembersihan sekolah. Apabila sudah siap, sekolah dapat dibuka semula dan murid-murid boleh mengikuti pembelajaran dengan selesa dan selamat.

4.         Saya juga amat bersimpati dengan nasib ibu bapa yang terpaksa melalui keadaan yang sukar untuk memulakan kehidupan baharu selepas bencana banjir, dengan harta benda yang musnah, rumah yang rosak atau kehilangan tempat tinggal, dan pada masa yang perlu membuat persediaan untuk anak-anak memasuki sekolah. Kerana itu saya telah membuat keputusan supaya Bantuan Awal Persekolahan diberikan lebih awal daripada biasa supaya ibu bapa dapat menggunakan bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak. Mudah-mudahan bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa dalam menghadapi musibah ini.

5.         Saya sendiri telah melawat beberapa buah sekolah yang terjejas akibat bencana banjir, iaitu Sekolah Kebangsaan Tanjung Chenok, dan Sekolah Kebangsaan Lati di Pasir Mas, Kelantan; Sekolah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut, Pahang; dan Sekolah Kebangsaan Lambor Kiri, Bota, Perak. Saya dapati banyak peralatan sekolah seperti perabot, perkakasan ICT, peralatan makmal, buku teks dan alat-alat bantuan mengajar yang musnah. Oleh itu, saya telah pun mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Madinah, supaya menyalurkan peruntukan segera kepada sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir untuk membiayai kerja-kerja pembersihan dan pembaikan sekolah serta penggantian peralatan yang musnah.

6.         Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas akibat banjir. Ini termasuk para mahasiswa kita dari universiti, politeknik, kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru serta semua sukarelawan samada yang turun sebagai individu atau mewakili mana-mana NGO atau pertubuhan. Tidak lupa juga kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), para pegawai, anggota keselamatan dan semua pihak yang bekerja bertungkus lumus untuk menyelaras misi bantuan banjir. Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendangkan. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penderma yang telah bermurah hati menyumbangkan dana dan peralatan bagi kerja-kerja pembersihan yang telah dilaksanakan. Sebagai tanda penghargaan kepada semua sukarelawan dan dermawan yang budiman, saya telah bersetuju supaya Kementerian Pendidikan mengeluarkan sijil penghargaan khas kepada mereka. Saya amat terharu kerana di sebalik musibah yang berlaku ada juga hikmahnya. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama telah menunjukkan rasa prihatin dan kebersamaan mereka untuk membantu mangsa-mangsa banjir samada menerusi  sumbangan tenaga, masa mahu pun wang ringgit. Saya ucapkan syabas dan tahniah.

7.         Untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir pada masa hadapan, saya menyarankan agar sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang berada di kawasan-kawasan yang mudah terdedah kepada bencana ini supaya melakukan persiapan lebih awal. Semua peralatan yang berharga perlu disimpan di tempat yang lebih selamat supaya kita dapat mengurangkan jumlah kerugian akibat banjir. Dalam musibah banjir baru-baru ini, kos kerosakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di bawah KPM dianggarkan berjumlah hampir RM500 juta. Ini adalah satu jumlah yang amat besar. Selain itu, pendidikan kesedaran mengenai bencana alam juga perlu diberikan kepada murid dan ibu bapa supaya mereka lebih bersedia dari segi mental dan fizikal dalam menghadapi sesuatu musibah serta dapat menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan baik.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

MEMPERKUKUHKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN

8.         Sepanjang tahun lalu, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan inisiatif-inisiatif utama yang digariskan di bawah Gelombang Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Alhamdulillah, Program Transformasi Daerah, LINUS, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, Penguasaan Bahasa Inggeris, Pengukuhan Kurikulum Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral serta Piagam Guru dan Pemimpin Sekolah telah mencapai KPI yang ditetapkan.

9.         Selain itu, proses penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 juga telah berjalan dengan lancar. Saya berharap agar tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada kerja-kerja menyiapkan PPPM (Pendidikan Tinggi) yang akan menjamin kesinambungan antara inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di sektor pelajaran dengan inisiatif di sektor pengajian tinggi.

Sektor Sekolah

10.       Transformasi pendidikan yang telah dimulakan pada tahun 2013 melalui pelancaran PPPM 2013-2025 akan terus diperkukuhkan pada tahun ini. Bagi sektor pelajaran, Kad Skor Menteri 2015 merangkumi 20 inisiatif utama yang memberikan tumpuan kepada Keberhasilan Murid berpandukan 6 Aspirasi Murid dan 5 Aspirasi Sistem yang telah ditetapkan di bawah PPPM. Untuk membuktikan komitmen dan keseriusan kita dalam melaksanakan apa yang telah dijanjikan, laporan prestasi akan terus dipantau melalui Kad Skor Menteri, laporan tahunan dan kajian pertengahan tahun. Saya yakin dengan perancangan dan pemantauan yang rapi semua inisiatif penting dalam Gelombang Pertama PPPM 2013-2025 dapat dicapai pada penghujung tahun ini. Ini termasuk memperkasakan guru dan pemimpin sekolah, menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dan meningkatkan kemahiran berbahasa. Di samping itu, usaha untuk memperkukuhkan aspek nilai, adab, perpaduan nasional dan semangat patriotismeakan terus diberikan tumpuan utama selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

11.       Untuk memastikan kejayaan gelombang pertama PPPM dan sebagai persediaan melaksanakan gelombang kedua mulai tahun 2016, saya menyeru agar peranan dan pelibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta diperluaskan, khususnya di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman. Saya pasti dengan usaha meningkatkan kualiti guru dan pemimpin yang sedang giat dijalankan, serta sokongan kuat daripada ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah, kita mampu mendidik murid dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni sebelum mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pendidikan Teknik dan Vokasional

12.       Untuk memenuhi permintaan tenaga mahir yang semakin meningkat dalam pasaran pekerjaan di negara kita, transformasi pendidikan teknik dan vokasional akan diteruskan. Perancangan strategik seperti meningkatkan penawaran tempat menerusi kerjasama dengan sektor swasta akan giat dilaksanakan agar enrolmen pelajar dalam bidang teknik dan vokasional dapat ditingkatkan.

13.       Bagi politeknik pula, tumpuan akan diberikan kepada peningkatan kualiti graduan menerusi pelaksanaan program akreditasi dan pensijilan antarabangsa. Untuk itu, saya berharap agar lebih banyak politeknik mendapat penarafan daripada badan antarabangsa seperti Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC). Setakat ini, tiga buah politeknik iaitu, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Ibrahim Sultan telah mendapat anugerah emas APACC yang membuktikan para lulusan politeknik sudah mencapai standard antarabangsa dan mempunyai potensi untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan global.

14.       Selain politeknik, Kolej Komuniti turut memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri. Jaringan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta perlu dipergiatkan untuk membuka peluang latihan yang lebih luas khususnya dalam bidang-bidang kritikal. Satu contoh yang baik ialah program Public-Private Partnership dan Industry on Campus yang dilaksanakan secara kerjasama pintar bersama industri automotif pada tahun 2014. Pada tahun ini, kolej komuniti bakal melatih 800 tenaga kerja bagi projek minyak dan gas di PIP Pengerang dan 300 orang untuk projek Sapura Kencana Fabrication Yard di Lumut.

Pendidikan Tinggi

15.       Dalam menghadapi cabaran globalisasi, peranan Institusi Pendidikan Tinggi dilihat lebih mencabar. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini merupakan satu usaha untuk melahirkan Bakat Terpelajar dipacu Nilai (Learned Values-Driven Talent) agar tranformasi negara menuju ekonomi dipacu pengetahuan (knowledge-driven economy) dapat dicapai. Pelan ini juga akan menghasilkan kelompok bakat yang inovatif dan kreatif disusuli dengan agenda New Academia dalam RMK-11.

16.       Bertitik-tolak daripada aspirasi yang terkandung dalam PPPM (Pendidikan Tinggi) ini, sektor pendidikan tinggi disarankan untuk menyusun strategi yang lebih berkesan. Antara langkah yang perlu diambil ialah:

Pertama, merekabentuk kurikulum holistik menerusi penilaian semula disiplin ilmu di institusi pendidikan tinggi dengan melihat kepada pendekatan antara-disiplin dan pelbagai-disiplin, memikirkan bentuk pekerjaan yang belum lagi wujud, teknologi yang belum dicipta dan penyelesaian masalah yang bakal berlaku. Di samping itu, dalam memenuhi tuntutan pembangunan negara, aspek nilai dan tanggungjawab yang merupakan paksi peradaban masa depan perlu diberikan penekanan. Kurikulum abad ke-21 juga perlu dibentuk selari dengan aliran pembangunan dan kemajuan teknologi supaya relevan dengan persekitaran semasa serta menekankan penggunaan “Higher Order Thinking and Creative Skills”(HOTaCS) yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik. Seterusnya, pembudayaan kurikulum holistik dan berintegrasi harus diterapkan menerusi penyampaian dan penilaian; pembelajaran perkhidmatan dan inovasi; di samping penekanan terhadap ciri-ciri keusahawanan dan kemahiran insaniah.

Kedua, memperkasa penyelidikan dan pengkomersialan. Dalam agenda memperkasa ekonomi negara, penyelidikan memainkan peranan penting untuk menghasilkan inovasi dan produk yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan negara. Sebagai contoh, Public-Private Research Network (PPRN) yang diperkenalkan oleh Kerajaan melalui KPM dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) merupakan satu inisiatif baharu ke arah mencapai matlamat ini. Melalui inisiatif ini, peranan institusi pengajian tinggi (IPT) dari segi pengkomersilan kepakaran serta hasil R&D dapat membantu industri tempatan, khususnya Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) berkembang dengan lebih pesat dari segi aplikasi pengetahuan. Peranan IPT dalam penyelidikan dan penyediaan perkhidmatan kepada komuniti, di samping mendidik generasi akan datang dapat digambarkan melalui konsep Quadruple Helix, iaitu satu jaringan kerjasama antara industri, akademia, kerajaan dan komuniti. Bagi tahun 2015, di bawah inisiatif PPRN, Kementerian Pendidikan akan mewujudkan 1,000 solution providers di mana semua IPT digalakkan untuk memainkan peranan aktif untuk mencapai sasaran ini; dan Ketiga, memperkukuhkan kedudukan universiti di peringkat antarabangsa menerusi dua strategi utama, iaitu memperkukuhkan jaringan kolaborasi dengan negaranegara luar dan menaikkan ranking universiti. Sehingga kini, beberapa memorandum telah ditandatangani dengan negara-negara strategik seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Jerman, Korea, Perancis, United Kingdom, dan UAE, di samping mewujudkan kerjasama pendidikan pelbagai hala menerusi ASEAN, OIC, ASEM, IORAC dan MACEE. Kerjasama ini akan memberikan pelbagai manfaat kepada negara seperti pendedahan penuntut Malaysia di arena global melalui pertukaran pelajar dan staf, peningkatan produktiviti negara menerusi kolaborasi penyelidikan dan pengkomersilan serta pemindahan teknologi. Dari segi ranking universiti pula, pencapaian universiti awam pada masa ini dalam 19 subjek menunjukkan 1 bidang subjek berada pada kedudukan ranking 50 ke atas, iaitu USM dalam bidang Sains Alam Sekitar, 10 bidang subjek berada pada kedudukan 51-100, 5 bidang subjek berada pada kedudukan 101-150 dan 3 bidang subjek berada pada kedudukan 151-200. Walaupun kedudukan ini agak memberangsangkan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. IPTA perlu mengambil, membangun dan mengekalkan pensyarah tempatan dan antarabangsa yang terbaik. Mereka merupakan individu yang memacu peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran,  penyelidikan dan inovasi serta sumbangan kepada industri dan masyarakat. Perkara ini dapat dilakukan menerusi insentif kecemerlangan, pengiktirafan dan penyediaan persekitaran yang sesuai untuk memajukan dan membangunkan kecemerlangan bakat.

17.       Kementerian sedar dalam usaha untuk meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi, pemberian autonomi adalah satu daripada langkah penting untuk menjadikan pengurusan IPTA lebih berdaya saing, kreatif dan fleksibel. Bagaimanapun, dalam hal ini Kementerian amat menekankan prinsip asas yang perlu dipenuhi bagi memastikan IPTA mampu memanfaatkan status autonomi sepenuhnya. Prinsip asas ini merupakan sempadan dan skop universiti dalam melaksanakan autonomi yang diberikan. Pematuhan kepada prinsip asas ini adalah penting kerana walaupun university diberikan autonomi penuh, kerajaan masih bertanggungjawab keatas autonomi tersebut.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

CABARAN NEGARA PADA 2015 DAN SETERUSNYA

18.       Melangkah ke hadapan, seluruh warga Kementerian mesti sentiasa menyantuni harapan masyarakat yang melihat pendidikan sebagai satu wadah penting pembangunan modal insan untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju. Pada waktu yang sama, kita juga mesti menggembleng seluruh kudrat untuk menghadapi beberapa cabaran utama yang memberikan kesan langsung terhadap perancangan pendidikan di negara kita.

19.       Cabaran pertama ialah perkembangan ekonomi ASEAN. Dalam tempoh lima tahun mendatang, rantau ASEAN akan muncul sebagai blok ekonomi yang kelima terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, China, Jepun dan India. Perkembangan ini pastinya akan merangsang perniagaan dan perdagangan dalam negeri dan antara negara-negara ASEAN. Dengan pelaksanaan Komuniti ASEAN bermula pada tahun ini, Malaysia perlu bersedia menghadapi persaingan ekonomi, keselamatan dan kebudayaan yang lebih terbuka antara negara anggota. Dalam konteks ini, sektor pengajian tinggi khususnya perlu merangka satu perancangan strategik untuk menangani cabaran mobiliti tenaga kerja mahir dalam pasaran pekerjaan serantau yang lebih terbuka.

20.       Cabaran kedua ialah peningkatan dalam hubungan antarabangsa. Kita perlu sentiasa peka terhadap perubahan dan kemajuan di peringkat antarabangsa serta ketidakpastian pada masa akan datang. Menyedari keperluan untuk sector pendidikan berkembang seiring dengan perkembangan pendidikan dunia, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa dengan pelbagai negara peneraju seperti Amerika Syarikat, China dan Australia. Kementerian komited untuk melaksanakan jaringan kerjasama antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif baharu seperti penyelidikan, latihan pra dan dalam perkhidmatan untuk tenaga pengajar, program penandaarasan dan mobiliti pelajar.

21.       Kejayaan kita dalam bidang pendidikan turut diiktiraf oleh pihak luar apabila kita sering kali menjadi sumber rujukan badan-badan antarabangsa seperti UNESCO, UNICEF dan Bank Dunia terutamanya dalam usaha mentransformasi sistem pendidikan di beberapa buah negara seperti Iraq, Yemen, Oman, Bhutan dan Nepal. Penyertaan Malaysia dalam 7th Islamic Conference of Ministers of Higher Education and Scientific Research di Rabat, Maghribi pada 18-19 Disember 2014 baru-baru ini contohnya, menyaksikan Malaysia akan menerajui negara-negara Islam ke arah kecemerlangan pendidikan bagi manfaat agama dan ummah seluruhnya. Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menerajui pembangunan pengkomersilan khusus, pembelajaran sepanjang hayat, pendidikan keusahawanan dan juga penyelidikan dan inovasi sebagai usaha kolaboratif dalam kalangan negara anggota OIC. Atas kepercayaan yang diberikan, Malaysia akan menerajui penubuhan OIC Collaborative Efforts in Commercialization and Entrepreneurship Education (OIC-CECE) yang akan menjadi pusat rujukan bagi negara-negara anggota OIC.

22.       Cabaran yang ketiga ialah mengupaya peranan Kementerian dalam pelaksanaan RMK-11. Satu daripada peranan penting yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pendidikan dalam RMK-11 nanti ialah memastikan negara “Memanfaatkan Bakat” iaitu menghasilkan Modal Insan Minda Kelas Pertama yang mampu menggunakan pengetahuan secara proaktif, kreatif dan inovatif. Modal insane yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita perlu berupaya menangani persekitaran global yang sentiasa berubah, meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang kepada kesejahteraan dan kekayaan negara.

23.       Untuk memenuhi tuntutan ini, Kementerian mesti merangkumkan semua aspek penjelmaan modal insan yang mampu memacu Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini termasuklah aspek kualiti pelajar, tenaga pengajar, kepimpinan institusi, pengurusan kewangan, program pengajian dan pembangunan institusi. Dalam RMK-11, program-program yang dilaksanakan mestilah berimpak tinggi (high impact), berpelaksanaan cepat (rapid execution) dan bertransformasi.

24.       Cabaran yang keempat ialah kepesatan teknologi. Kejayaan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan dunia menjadi semakin kecil dan kompetitif. Pada masa yang sama, kemajuan teknologi juga telah menghasilkan “game-changer” iaitu perubahan pada corak, cara dan gaya hidup manusia. Penggunaan internet secara berleluasa telah mewujudkan komuniti internet yang secara agresif berusaha untuk mendapatkan maklumat dan juga menyebarkan maklumat melalui pelbagai jaringan siber. Atas nama “kebebasan”, komuniti internet ini telah menyebarkan pelbagai maklumat melalui jaringan-jaringan siber. Maklumat ini sama ada benar atau pun tidak mudah menjadi “viral” umpama sel kanser dan virus yang merebak menembusi segala bentuk benteng dan halangan. Jelasnya, pembangunan dalam bidang teknologi ini walaupun mempunyai banyak kelebihan tetapi banyak juga cabaran yang perlu dihadapi khususnya dalam mendidik insan supaya menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

PENDIDIKAN BERTUNJANGKAN NILAI, KELESTARIAN ALAM SEKITAR DAN PERPADUAN

25.       Keempat-empat cabaran yang saya sebutkan tadi jelas menuntut agar generasi masa hadapan dididik dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni. Kita perlu kembali kepada tujuan asas pendidikan iaitu bukan sahaja untuk melahirkan insan yang berpengetahuan (knowledge person) tetapi insan yang berguna (useful person) dan warga negara yang baik (good citizen) yang boleh menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara. Dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika yang utuh serta sifat penyayang, adil dan saksama dalam kalangan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam sistem pendidikan kita.

26.       Saya percaya bahawa pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tanpa menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat. Dalam konteks ini, jurang pendapatan yang masih wujud di negara kita perlu ditangani dengan berkesan untuk memastikan Malaysia terus kekal stabil dan harmoni. Justeru, saya berharap agar institusi pendidikan di negara kita dapat memainkan peranan yang penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara disertai dengan pembahagian kekayaan yang adil dan saksama. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan penubuhan Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA) di Universiti Kebangsaan Malaysia yang akan menjalankan kajian-kajian khusus untuk menangani isu ketidaksaksamaan sosial dan ekonomi dalam masyarakat dengan memberikan penekanan kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi yang bersifat inklusif serta mengecilkan jurang pendapatan rakyat.

27.       Selain itu, dalam keghairahan kita mengejar kemajuan ekonomi, jangan kita abaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar. Ini termasuk penerokaan hutan yang berleluasa sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran air, kejadian tanah runtuh dan juga banjir besar seperti yang dialami di negara kita baru-baru ini. Sebaliknya, kita mestilah sentiasa mementingan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar yang menjadi penentu kesejahteraan hidup generasi masa hadapan.

28.       Dalam konteks ini, saya ingin memetik satu pemerhatian penting yang dibuat oleh Jeffrey D Sachs, seorang pakar ekonomi yang tersohor di dalam bukunya “Common Wealth: Economics for a Crowded Planet” yang saya fikir wajar direnung oleh kita semua. Beliau menyebut:
“The world’s ability to combine long-term economic growth with environmental health is heavily debated. Yet one thing is certain: the current trajectory of human activity is not sustainable. If we simply do what we are doing on the planet with unchanged technology, the environmental underpinnings of global well-being will collapse. The limits of the environment itself will defeat our global aspirations for prosperity”

29.       Untuk mengelakkan masa depan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat kita terjejas akibat sumber alam yang tidak diurus dengan baik, saya mencadangkan supaya universiti-universiti di negara kita memberikan focus kepada kajian mengenai pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari. Universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini digalakkan membuat kajian berimpak tinggi yang berfokus kepada pengurusan sumber alam, penghasilan teknologi hijau, penciptaan tenaga boleh dibaharui (renewable energy), seni bina mesra alam, hidrologi dan bidang-bidang lain yang berkaitan. Sudah sampai masanya kita menjajarkan semula pendekatan pembangunan negara dengan melihat pemeliharaan alam sekitar sebagai satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di masa hadapan.

30.       Satu lagi bidang utama yang perlu diteroka oleh ahli-ahli akademik di negara ini ialah pengurusan bencana. Bidang ini menjadi semakin penting di Malaysia. Kejadian tanah runtuh, jerebu dan banjir yang kerap berlaku di negara kita mutakhir ini memerlukan satu pendekatan yang komprehensif dan berkesan dalam pengurusan bencana. Ini termasuk aspek pengurusan alam sekitar, persiapan menghadapi bencana, program kesedaran masyarakat, penyelarasan bantuan, komunikasi dan pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat bencana. Jika kita dapat mengurus bencana dengan baik, saya percaya kita akan dapat menyelamatkan banyak nyawa selain mengelakkan kerugian berbillion ringgit akibat kerosakan infrastruktur dan kemusnahan harta benda.

31.       Justeru, sukacita saya mengumumkan penubuhan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Negara yang memfokuskan kepada aspek pengurusan bencana dan juga pemberian dana penyelidikan khas dalam bidang pengurusan bencana dan mitigasi banjir berjumlah RM20 juta yang boleh dipohon oleh IPT melalui Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS). Adalah diharapkan hasil kajian yang bakal dilaksanakan dapat menyumbang kepada pemantapan pengurusan bencana di negara ini.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

32.       Jelas sekali bahawa modal insan atau bakat yang perlu dibangunkan melalui sistem pendidikan negara bukan sahaja mampu memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi, tetapi juga perlu disertai dengan penghayatan nilai dan adab yang tinggi. Matlamat ini adalah selaras dengan tujuan Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari ataupun Education for Sustainable Development (ESD) yang menekankan keberhasilan modal insan yang holistik, peka terhadap alam sekitar dan bertangunggjawab.

33.       Selain itu, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, aspek perpaduan nasional perlu terus menjadi pancang dasar dan program pendidikan di negara ini. Kita tidak boleh sama-sekali mengenepikan aspek perpaduan nasional sebagai teras keamanan, kestabilan dan kemajuan negara. Untuk itu, Kementerian Pendidikan akan memberikan penekanan khusus kepada pengukuhan perpaduan nasional dan pembinaan semangat patriotisme di setiap peringkat pendidikan menerusi pelaksanaan program pendidikan kenegaraan yang lebih berstruktur.

34.       Justeru, dalam melahirkan insan yang sempurna atau insān kāmil, kita perlu kembali menghayati asas-asas yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada  kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

PESANAN KEPADA GURU, PENSYARAH, PELAJAR, PEGAWAI KEMENTERIAN, IBU-BAPA DAN KOMUNITI

35.       Kepada guru-guru dan pensyarah, hayatilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita. Sentiasalah ingatkan diri kita bahawa tugas sebagai pendidik adalah satu tugas yang amat mulia. Menjadi pendidik bukanlah semata-mata suatu profesion, tetapi suatu perjuangan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi insan yang seimbang. Saya percaya jika saudara dan saudari semua mengabdikan seluruh jiwa dan raga kepada tugas yang paling mulia ini, maka kita akan berjaya mencapai matlamat pendidikan yang paling asas, iaitu mendidik insane dengan adab dan pekerti yang mulia. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis:
Addabanī rabbī fa ahsana ta’dībī
Yang bermaksud:
“Sesungguhnya Tuhanku telah mendidik adabku dan Dia memperelokkan pengajaran-Nya terhadapku”

36.       Kepada para pelajar, berikanlah tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit hari ini, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan. Jadi, berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya. Only the best among you will survive and thrive.
37.       Kepada ibu bapa, saya amat mengharapkan sokongan dan pelibatan anda semua dalam menjayakan dasar dan program pendidikan di negara ini. Saya tahu ibu bapa hari ini mempunyai harapan yang amat tinggi kepada Kementerian Pendidikan. Mereka berharap agar Kementerian kita ini dapat menyediakan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Kita sedang melakukan yang terbaik menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang meliputi inisiatif-inisiatif baharu daripada peringkat pra-sekolah hinggalah ke pendidikan tinggi untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita. Namun, saya percaya kita memerlukan satu usaha kolektif antara kerajaan, ibu bapa dan komuniti untuk menjayakan hasrat pendidikan Negara. Untuk itu, tiada apa yang saya harapkan daripada para ibu bapa dan masyarakat, melainkan sokongan dan dokongan anda semua terhadap segala inisiatif KPM untuk melonjakkan kualiti pendidikan.

38.       Kepada pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan, anda adalah pembuat dasar dan sebahagiannya merupakan pelaksana dasar. Bagi saya, dasar yang baik adalah dasar yang boleh dilaksanakan dengan baik. Sehubungan itu, suka saya ingin berpesan kepada pegawai-pegawai saya di Kementerian, apabila kita menggubal sesuatu dasar kajilah secara terperinci bagaimana dasar ini hendak dilaksanakan di bawah. Tanya diri kita adakah dasar yang kita gubal itu boleh dilaksanakan dengan baik atau tidak? Adakah para pelaksana dasar mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk melaksanakannya? Lebih penting lagi, adakah dasar itu boleh diterima dengan baik oleh semua pemegang taruh (stakeholders)? Kata kunci kepada persoalan ini adalah engagement atau pelibatan semua pemegang taruh dalam proses pembuatan sesuatu dasar. Dapatkan pandangan semua pihak secara menyeluruh, kemudian kajilah dengan teliti semua pandangan itu sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan.

39.       Saya percaya bahawa proses engagement ini telah pun dilaksanakan di Kementerian kita. Sebagai contoh, penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia melibatkan engagement dengan ribuan individu sehinggakan kita dapat menghasilkan satu perancangan yang komprehensif untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara. Teruskanlah proses engagement supaya kita dapat mencapai keberhasilan yang terbaik daripada setiap dasar atau inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian.

PENUTUP
40.       Saya yakin transformasi pendidikan yang telah kita garap akan berjaya sekiranya kita berusaha tanpa mengenal erti putus asa, bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan berkhidmat dengan komitmen yang tinggi lagi berintegeriti. Kita perlu berusaha dan berubah daripada amalan biasa untuk melaksanakan transformasi pendidikan. Dalam konteks ini, marilah kita menghayati firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah Al-Ra’du, ayat 11:

“Sessunguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri’.

41.       Sehubungan ini, saya, YB Menteri Pendidikan II danTimbalan-Timbalan Menteri sebagai anggota pentadbiran menaruh harapan yang tinggi kepada pihak pengurusan Kementerian Pendidikan yang diterajui oleh Tan Sri Dr. Madinah Mohamad selaku Ketua Setiausaha, Dato’ Seri Ir Dr. Zaini Ujang selaku Ketua Setiausaha II, Ketua-Ketua Pengarah dan seluruh warga Kementerian untuk memikul tanggungjawab merealisasikan aspirasi dan sasaran Kementerian yang telah dijanjikan kepada rakyat. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah s.w.t. agar dipermudahkan segala urusan kita.
InsyaAllah.

Ruyung dilelas sagu bersisa
Letih dan lelah tidak diendah
Berpayung menggalas amanat nusa
Kerja yang rumit menjadi mudah

42.       Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Kementerian Pendidikan atas komitmen anda dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan.

Wabillahi al-taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


16 Januari 2015

Sunday 25 January 2015

Saturday 10 January 2015

PERUTUSAN YAB DATO’ MENTERI BESAR NEGERI TERENGGANU SEMPENA SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015


Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh, selamat sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Pendahuluan

1.  Alhamdulillah, saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya telah dapat saya menyampaikan perutusan sempena permulaan sesi persekolahan tahun 2015 bagi sekolah-sekolah  di negeri Terengganu. Saya bersama barisan kepimpinan kerajaan juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2015. Mudah-mudahan pada tahun ini kecemerlangan dalam pendidikan dapat kita sama-sama pertingkatkan lagi. Sesungguhnya tahun 2014 telah banyak memaparkan episod suka duka warga pendidik, PIBG dan para pelajar  dalam mengharungi pelbagai cabaran demi memahat sejarah kecemerlangan pendidikan di negeri Terengganu. Bagi pihak kerajaan saya mengucapkan syabas dan terima kasih.

2.  Setiap kecemerlangan kita akan warisi melalui tiga tahap masa, iaitu masa lalu, masa sekarang dan masa akan datang. Masa lalu merupakan catatan sejarah, masa ini adalah masa yang penuh dengan cabaran, sementara masa akan datang pula merupakan suatu pengharapan berbentuk misteri. Semuanya penting, urutan perubahan masa inilah yang telah banyak mematangkan kita dalam perjuangan memperkasakan pendidikan.

Transformasi Terengganu Baharu (TTB)

3.  Sebagai insan yang telah diberi amanah untuk memimpin pembangunan negeri Terengganu,  saya dan barisan kepimpinan telah memperkenalkan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) sebagai strategi memacu pentadbiran ke arah memenuhi kehendak rakyat. Terdapat 8 prinsip yang mendokongi Transformasi Terengganu Baharu, prinsip ke-8 ialah Memperkasakan Pendidikan.

4.  Proses Memperkasakan Pendidikan memerlukan suatu transformasi yang berani dan berterusan. Maka sebagai seorang bekas pendidik saya sangat memahami bahawa penggerak utamanya adalah para guru. Sentuhan warga pendidik adalah sentuhan “keramat” yang mampu dijana melewati pemikiran biasa. Dengan izin Allah SWT kita telah buktikan prestasi pencapaian  UPSR pada tahun 2014 sebagai Juara 5A, Juara GPA, Juara kelulusan minima gred C. Alhamdulillah, sifat muafakat membawa berkat terserlah dengan nyata sekali diantara pihak pengurusan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah, PIBG dan pelbagai agensi. Adunan inilah yang memberi kekuatan luar biasa bagi pendidikan negeri Terengganu.Apa tidaknya, anda warga pendidik telah menabur khidmat bakti tanpa mendahulukan upah dan laba. Syabas dan terima kasih semua. Doa saya agar semua dilimpahi barokah daripada Allah SWT hendaknya.

5. Inilah sebenarnya kalimat indah yang sentiasa berlegar di sanubari saya, warga pendidik yang dimiliki oleh negeri Terengganu ini bukan alang kepalang. Sentiasa berdiri gagah di barisan hadapan, sentiasa berpasakkan angan menerobosi realiti kehidupan, yang pasti rintangan mendatang tetap dianggap peluang. Demi anak didiknya, jika patah sayap bertongkat paruh murid pasti dalam ingatan, walaupun kadang-kala belaian kasih anak sendiri tidak kesampaian. Pengorbanan anda semua,  saya dan barisan kepimpinan tidak akan kesampingkan, malah sentiasa mensyukuri.  Kami juga insaf dan sedar bahawasanya apa jua kemenjadian kita, sehingga petah menyebut alif, ba, ta, a, b, c, dan mengira 1, 2, 3 semuanya berasal daripada seorang guru biasa. Percayalah anda warga pendidik dan khalayak pendidikan sentiasa dekat di hati kami. Tanpa anda siapalah kami.

6.  Saya melihat sumbangan warga pendidik mempunyai impak yang tinggi dalam melaksanakan  matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu gerakan secara berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sebab itulah melalui Transformasi Terengganu Baharu (TTB) saya menjadikan agenda pembangunan pendidikan sebagai salah satu prinsip yang perlu diberi keutamaan. Dalam hal ini sekali lagi saya menyeru warga pendidik ,marilah kita memperkemaskan tekad untuk terus melestarikan kecemerlangan. Sederapkan langkah perbetulkan arah, insya Allah segala yang payah akan dipermudah dan yang betul tidak lagi dipersalah.

7.  Kluster Pendidikan di bawah PUTRA ditubuhkan oleh kerajaan adalah semata-mata untuk merancang, memantau serta menambah nilai keberkesanan perancangan pembangunan pendidikan. Kecemerlangan akademik, ko-kurikulum dan adab-adab hidup bermasyarakat  menjadi pertimbangan utama. Saya dan barisan kepimpinan tertinggi kerajaan ingin melihat pelajar-pelajar yang terdidik daripada institusi pendidikan di negeri Terengganu yang terkenal dengan NEGERI ANJUNG ILMU ini, berani berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Malah kita ingin sekali membantu golongan pelajar yang berjiwa besar meneroka ilmu duniawi dan ukhrawi selari dengan kepesatan perubahan teknologi yang berkualiti tinggi.

8. Oleh sebab itulah semasa pembentangan bajet negeri Terengganu tahun 2015 yang lalu, saya menekankan roh pentadbiran yang berdimensi baharu ini berslogankan DARI RAKYAT KEPADA RAKYAT UNTUK RAKYAT.Maka dalam skop inilah juga saya dengan berlapang dada turut menyeru warga pendidik di segenap penjuru alam, mari kita imarahkan “Muafakat itu Membawa Berkat”. Dalam soal pendidikan kita tidak ada kompromi. Biarlah kita tidak popular di kalangan kelompok tertentu, asalkan masa depan  rakyat terpelihara. Apa lagi yang lebih penting selain ilmu penuh di dada,  sekali kita telah dinobatkan sebagai juara dipersada, tidak mungkin lagi kita menoleh ke belakang. Kita buktikan SOLIDARITI bukan sekadar cakap tetapi kita warga pendidik amalkan secara cermat dan berhemat.

Kepekaan dengan dasar-dasar kerajaan

9.  Dasar pendidikan yang digubal menggambar aspirasi kerajaan bagi menentukan hala tuju pendidikan negara dan menjadi teras kepada matlamat Wawasan 2020 yang hanya berbaki kira-kira lima tahun sahaja lagi. Tempoh sesingkat ini tidak langsung memungkinkan kita warga pendidikan leka dengan isu-isu picisan yang boleh membantut kerancakkan kecemerlangan selari dengan harapan pucuk pimpinan tertinggi negara yang berhasrat menjadikan pendidikan bertaraf dunia.

10.  Integriti merupakan asas kepada tadbir urus pendidikan yang berkualiti. Integriti atau kejujuran seseorang pendidik itu lebih penting daripada ilmu dan kepakaran dalam penyampaian ilmu kepada para pelajar. Seorang pendidik yang berintegriti akan melaksanakan amanah sebagai seorang pendidik dengan hati yang tulus ikhlas. Ilmu dan kemahiran yang dicurahkan kepada muridnya akan tiba ke hati secara bermakna. Sebaliknya pendidik yang tidak berintegriti pengajarannya hanyalah sekadar penyampaian dari metakognitif semata-mata. Kefahaman memang ada tetapi ketibaan makna ilmu tidak kesampaian. Saya amat serius dalam aspek ini, sebab itu di dalam Transformasi Terengganu Baharu, integriti tercatat sebagai prinsip ke- 4.

11. Saya suka mengingatkan diri saya dan warga pendidik sekalian agar terus membudayakan KECIL BAGI KITA BESAR BAGI RAKYAT sebagai tagline yang perlu dihayati demi menyahut harapan YAB Dato’ Sri Perdana Menteri Malaysia yang mengharapkan semua penjawat awam agar mendahulukan kehendak rakyat, tanpa mengabaikan kualiti pencapaian. Sama-samalah kita menggunakan semua strategi yang ada untuk membantu masyarakat merasai nikmatnya menjadi insan ternama yang terbina melalui pendidikan. Bagi rakyat jelata, guru adalah segala-galanya bagi mereka, untuk mengajar dan mendidik anak-anak sendiri ilmunya tiada. Mungkin bagi kita bimbingan membaca, menulis dan mengira  di kelas tambahan dianggap sumbangan kecil sahaja, tetapi bagi ibubapa sungguh besar maknanya. Jika ini boleh dijadikan suatu budaya dalam strategi pengajaran guru, saya begitu yakin di negeri Teregganu ini tidak akan kita ketemui GURU YANG FAKIR FIKIR.

12.  Saya perlu mengingatkan seluruh warga pendidik di negeri Terenggaanu  mengenai betapa perlunya istiqamah dalam  usaha melaksanakan pelbagai program pendidikaan yang Berjurus dan fokus, supaya hasrat yang terkandung dalam Transformasi Terengganu Baharu (TTB) tercapai dalam masa terdekat. Berada di lapangan dan turun padang merupakan kaedah penyampaian ilmu  yang berimpak tinggi. Keluh kesah pelanggan dapat dilihat dengan mata hati, ini secara terus akan menzahirkan keinsafan yang tulus dan kudus. Mudah-mudahan rasa kesangsian segera terhapus.

Harapan

13. Sebelum tahun 2014 melabuhkan tirainya, negeri Terengganu yang kita sayangi ini telah ditimpa bencana banjir yang teruk. Beberapa daerah telah mengalami kerosakan harta benda dan kesulitan meneruskan aktiviti seharian. Maka sekali lagi saya dapat melihat penglibatan para pendidik di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir telah bertugas dengan penuh gigih dan sabar, walaupun ada di antara mereka yang diuji dengan pelbagai cabaran karenah mangsa perpindahan. Tuan-tuan semua orang yang hebat. Rupa-rupanya tugas seorang pendidik jauh lebih luas dan mencabar. Bermula di dalam bilik darjah, di padang, di bukit, di sawah malah dilautan sekalipun dalam bertugas guru tidak mudah mengalah. Kepada semua warga pendidik saya ucapkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga.

14.  Pendidik juga ibarat petani yang menabur benih segenggam, kepingin melihat padi sebendang, tetapi kadangkala benih yang ditabur menjadi lalang seluas pandangan. Demikian kias ibarat orang Melayu lama, hanyasanya kita hendaklah berusaha dan berikhtiar tetapi pada masa yang sama  jangan pula lupa bertawakkal kepada Allah SWT. Memang kita boleh merancang untuk meraih kecemerlang, namun perancangan Allah SWT jualah yang menjadi penentu akhirnya. Jangan kita mudah kecewa dan berputus asa, bersabar itu sebahagian daripada iman.

15.  Sempena permulaan sesi persekolahan tahun 2015, saya sekali lagi bagi pihak barisan kepimpinan dan kerajaan mengucapkan terima kasih dan melahirkan perasaan bangga di atas khidmat bakti warga pendidik yang telah melaksanakan amanah sepanjang tahun 2014. Selamat menjalankan tugas diucapkan kepada semuawarga pendidik pada tahun 2015. Kepada murid-murid saya ucapkan selamat belajar, kuatkan semangat, perkasakan jati diri mudah-mudahan bibit kejayaan pasti dinikmati. Marilah kita berpadu tenaga dalam menterjemahkan perancangan pendidikan kepada sebuah realiti bukannya sebuah fantasi.
Sesungguhnya kepada Allah saya berserah. Cucurilah rahmat ke atas warga pendidik kami supaya tidak berpaling arah.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih

YAB Dato’ Hj. Ahmad Razif bin Abd. Rahman,
Menteri Besar Terengganu, Darul Iman.

Thursday 8 January 2015

Misi Bantuan Kemanusiaan PPD HT untuk mangsa banjir Kuala Krai, Kelantan

Seramai 11 orang terdiri daripada pegawai, penyelia dan staf sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu telah turut serta dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Sukrelawan OKB bersama YBM Dato' Tengku Putera Tengku Awang, ADUN Kuala Berang telah ke Kuala Krai pada 02 Januari 2015.

Tujuan misi tersebut adalah untuk menyampaikan bantuan yang telah dikumpul oleh Warga Pendidikan Daerah Hulu Terengganu dalam meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir di Kuala Krai. Rombongan telah menziarahi Kampung Kuala Nal dan juga Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Krai.



Ahli rombongan:
Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin, KPPD PPD Hulu Terengganu
Encik Jalaluddin bin Ismail, TKPPD PPD Hulu Terengganu
Tuan Haji Abdul Rahman bin A. Bakar, PPPD (Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan) PPD HT
Encik Rashid bin Taib, Kuanselor Organisasi, PPD HT
Encik Mohd Yusof bin Embong, PPPD (Penilaian & Peperiksaan) PPD HT
Encik Afandi bin Abdul Ghani, PPPD (Kemanusiaan) PPD HT
Encik Hisyamuddin bin Mustapha, PPD (Bahasa), PPD HT
Encik Azeman bin Othman, Fasi LINUS, PPD HT
Encik Esham bin Busu, PPPD (PPDa) PPD HT
Encik Wan Mahadi bin Mohd Salim, Penyelia Sukan, PPD HT
Encik Adnan (EIO)

Turut serta:
Encik Roslan, Ketua Unit Sukan JPNTr
Encik Suhaimi Wahab, GB SK Guntung, Setiu, Terengganu

Thursday 1 January 2015

Selamat Tahun Baru 2015...

Ketua Unit : Tuan Haji Abdul Rahman A. Bakar (PPPD Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan)
Ahli Unit   : Encik Azmi bin Mahmud (PPPD Pengurusan Sukan)
Ahli Unit   : Puan Zaitun binti Mohd Zaki (PPPD HEM)
Ahli Unit   : Encik Esham bin Busu (PPPD PPDa)
Ahli Unit   : Encik Wan Mahadi bin Mohd Salim (Penyelia Sukan)
Ahli Unit   : Encik Mohd Pauzi bin A. Rahman (Penyelia HEM)
Ahli Unit   : Encik Mohd Fariz bin Ghazali (Penyelia Kokurikulum)